Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA | SEBUAH KERAJAAN TANPA RASUAH

Kerajaan Tuhan—Sebuah Kerajaan Tanpa Rasuah

Kerajaan Tuhan—Sebuah Kerajaan Tanpa Rasuah

“Sebenarnya, pegawai kerajaan juga merupakan sebahagian daripada masyarakat.” Itulah yang dikatakan oleh ketua audit negara Nicaragua semasa menjelaskan sebab dia berasa bahawa gejala rasuah dalam sektor kerajaan mustahil dibasmi.

Jika amalan rasuah berleluasa dalam kalangan masyarakat, sudah tentu amalan ini akan wujud dalam kerajaan. Maka, manusia tidak dapat membentuk sebuah kerajaan yang bebas daripada rasuah. Itulah sebabnya Yesus mengajar pengikutnya untuk berdoa agar Kerajaan Tuhan datang.—Matius 6:9, 10.

Kerajaan Tuhan yang memerintah dari syurga memang wujud dan bakal menggantikan semua kerajaan manusia. (Mazmur 2:8, 9; Wahyu 16:14; 19:19-21) Kerajaan ini akan membasmi gejala rasuah. Berikut merupakan enam ciri yang menjamin hal ini.

1. KUASA

MASALAH: Kerajaan manusia dibiayai oleh cukai dan duti yang dibayar oleh rakyat. Melalui cara ini, sesetengah pegawai mengambil kesempatan untuk menggelapkan wang. Pegawai yang lain pula menerima rasuah daripada orang yang ingin mengurangkan pembayaran cukai kerajaan. Hal ini menyebabkan kerajaan menaikkan kadar cukai untuk menanggung kerugian mereka. Akibatnya, rakyat yang tidak terlibat dalam amalan rasuah terpaksa membayar cukai yang lebih tinggi.

PENYELESAIAN: Kerajaan Tuhan menerima kuasa daripada Tuhan Yang Maha Kuasa, Yehuwa. * (Wahyu 11:15) Kerajaan ini tidak mengenakan cukai terhadap rakyatnya. Sebaliknya, ‘kuasa’ dan kemurahan hati Tuhan akan memenuhi segala keperluan rakyat-Nya.—Yesaya 40:26; Mazmur 145:16.

2. PEMERINTAH

MASALAH: Usaha untuk membasmi rasuah “harus bermula daripada puncanya,” seperti yang dikatakan Susan Rose-Ackerman pada awal rencana. Kerajaan manusia hilang kepercayaan rakyat kerana usaha untuk membasmi gejala rasuah hanya berlaku dalam kalangan polis dan pegawai kastam, manakala pegawai tinggi kerajaan pula dikecualikan. Tambahan pula, pemerintah yang baik juga tidak sempurna. Bible menyatakan, “Di bumi tiada seorang pun yang selalu berbuat baik.”—Pengkhutbah 7:20.

Yesus menolak tawaran Syaitan

PENYELESAIAN: Yesus Kristus ialah Pemerintah Kerajaan Tuhan yang dilantik oleh Yehuwa. Dia tidak seperti manusia berdosa yang dapat dirasuah oleh orang. Misalnya, Syaitan berjanji untuk memberikan “semua kerajaan dunia serta kegemilangannya” jika Yesus sujud menyembahnya. Tetapi Yesus menolak tawaran Syaitan. (Matius 4:8-10; Yohanes 14:30) Sewaktu diseksa, Yesus menolak minuman yang ditawarkan untuk meringankan kesakitannya. Dia ingin tetap sedar agar dapat mengekalkan kesetiaannya sampai akhir. (Matius 27:34) Sekarang Yesus sudah dibangkitkan ke syurga. Dia telah membuktikan bahawa dia layak untuk menjadi Pemerintah Kerajaan Tuhan.—Filipi 2:8-11.

3. KESTABILAN

MASALAH: Sewaktu kempen pilihan raya dijalankan, rakyat berpeluang membuat undian untuk menyingkirkan ahli politik yang terlibat dalam rasuah. Namun, hal ini tidak selalunya berlaku. Gejala rasuah dalam pilihan raya masih berlaku, bahkan di negara yang maju. Sesetengah orang kaya menggunakan wang atau cara lain untuk mendapat sokongan ahli politik dalam hal tertentu.

Menurut John Paul Stevens, seorang hakim Mahkamah Agung A.S., amalan rasuah bukan sahaja mempengaruhi “kewibawaan dan kualiti kerajaan, malah menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan tersebut.” Maka, tidak hairanlah orang dari seluas dunia berpendapat bahawa ahli politik paling banyak terbabit dalam amalan rasuah.

PENYELESAIAN: Kerajaan Tuhan ialah kerajaan yang stabil dan berkekalan. Kerajaan ini tidak akan digantikan oleh kerajaan lain. (Daniel 7:13, 14) Tuhan sendiri yang memilih pemerintah Kerajaan ini, bukannya melalui kempen pilihan raya yang sering dipengaruhi oleh gejala rasuah. Jadi, semua yang dilakukan oleh Kerajaan Tuhan adalah demi kepentingan rakyat.

4. UNDANG-UNDANG

Kerajaan Tuhan yang memerintah dari syurga memang wujud

MASALAH: Undang-undang baru yang digubal nampaknya dapat membendung amalan rasuah. Namun, hal ini seperti tikus membaiki labu. Para penyelidik mendapati bahawa semakin banyak undang-undang yang digubal, semakin banyak peluang untuk melakukan rasuah. Tambahan pula, penggubalan undang-undang baru melibatkan kos yang tinggi dan tidak membawa hasil yang diinginkan.

PENYELESAIAN: Undang-undang Kerajaan Tuhan jauh lebih unggul daripada undang-undang kerajaan manusia. Misalnya, Yesus memberikan prinsip dan bukannya senarai peraturan yang panjang mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Contohnya, Yesus berkata, “Semua hal yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, kamu juga mesti melakukannya untuk mereka.” (Matius 7:12) Dia juga mengajar: “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Matius 22:39) Jadi undang-undang Kerajaan Tuhan dapat membantu seseorang mempunyai kelakuan yang baik dan niat hati yang murni. Hanya Tuhan yang dapat menguatkuasakan undang-undang ini kerana Dia mampu menilai niat hati manusia.—1 Samuel 16:7.

5. MOTIF

MASALAH: Motif di sebalik gejala rasuah ialah sifat tamak dan mementingkan diri. Itulah sifat yang selalu ditunjukkan oleh pegawai kerajaan dan masyarakat. Seperti dalam rencana sebelumnya, keruntuhan pusat beli-belah di Seoul berlaku akibat amalan rasuah antara pegawai kerajaan dan kontraktor yang tidak jujur. Untuk mengaut keuntungan yang lebih banyak, mereka sanggup membahayakan keselamatan orang ramai dengan menggunakan bahan pembinaan yang berkualiti rendah.

Untuk membanteras gejala rasuah, manusia perlu menyingkirkan sifat tamak dan mementingkan diri. Malangnya, kerajaan manusia tidak mampu melakukan perubahan sedemikian.

PENYELESAIAN: Kerajaan Tuhan dapat membasmi gejala rasuah daripada puncanya menerusi pendidikan yang disediakan bagi manusia. * Pendidikan ini membantu manusia untuk ‘terus membaharui cara mereka berfikir.’ (Efesus 4:23) Dengan ini, sifat tamak dan mementingkan diri akan disingkirkan. Manusia akan berpuas hati dan memupuk sifat keprihatinan.—Filipi 2:4; 1 Timotius 6:6.

6. RAKYAT

MASALAH: Tanpa mengira latar belakang dan tahap pendidikan, sesetengah orang masih memilih untuk bersikap tidak jujur. Pakar penyelidik mengakui bahawa inilah sebabnya kerajaan manusia gagal membasmi gejala rasuah. Kerajaan manusia hanya mampu mengurangkan kadar kes rasuah dan kesan daripada amalan buruk ini.

PENYELESAIAN: Menurut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah, sifat-sifat seperti “integriti, kejujuran, dan tanggungjawab” diperlukan agar dapat membasmi amalan rasuah. Hal ini memang benar. Tetapi, rakyat Kerajaan Tuhan bukan sahaja digalakkan untuk memupuk sifat-sifat tersebut, malah mereka mesti memperlihatkan sifat-sifat itu dalam kehidupan mereka. Bible mengatakan bahawa orang “yang tamak” dan “pendusta” tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.—1 Korintus 6:9-11; Wahyu 21:8.

Seperti orang Kristian dahulu, manusia dapat belajar untuk hidup menurut piawaian moral Tuhan. Salah satu contoh ialah pengikut Yesus yang bernama Simon. Dia menawarkan wang kepada para rasul kerana menginginkan kuasa daripada Tuhan. Namun, para rasul menolak tawarannya dan berkata, “Bertaubatlah dan tinggalkanlah kejahatanmu.” Simon sedar bahawa keinginan yang salah ini sangat berbahaya. Maka, dia meminta para rasul untuk berdoa agar dia dapat mengatasi masalah ini.—Kisah 8:18-24.

CARA UNTUK MENJADI RAKYAT KERAJAAN TUHAN

Peluang untuk menjadi rakyat Kerajaan Tuhan terbuka kepada semua orang. (Kisah 10:34, 35) Anda dapat mempelajari cara untuk menjadi rakyat Kerajaan Tuhan menerusi pembelajaran Bible. Saksi-Saksi Yehuwa gembira untuk menunjukkan cara pembelajaran Bible diadakan. Pembelajaran ini percuma dan tidak mengambil masa yang lama. Anda dapat mengetahui “berita baik tentang Kerajaan Tuhan,” termasuk cara Kerajaan Tuhan akan membasmi gejala rasuah. (Lukas 4:43) Hubungilah Saksi-Saksi Yehuwa di kawasan anda atau layari laman web kami, jw.org/ms.

Inginkah anda mendapatkan pembelajaran Bible yang percuma?

^ per. 8 Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat di dalam Bible.

^ per. 22 Untuk maklumat lanjut, lihat bab 14, buku Terus Hidup Di Bawah Naungan Kasih Tuhan yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.