Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

NASIHAT KUNO BAGI ZAMAN MODEN

Mengampuni dengan Rela

Mengampuni dengan Rela

PRINSIP BIBLE: “Hendaklah kamu saling mengampuni dengan rela hati, biarpun orang lain menyinggung perasaan kamu. Sepertimana Yehuwa mengampuni kamu dengan rela hati, kamu juga mesti berbuat demikian.”—Kolose 3:13.

Apakah maksudnya? Dalam Bible, dosa digambarkan seperti hutang, dan mengampuni dosa bagaikan membatalkan hutang. (Lukas 11:4) Menurut sebuah buku rujukan, perkataan Yunani dalam Bible yang diterjemahkan sebagai “mengampuni” bermaksud “melepaskan hutang dan tidak menuntutnya.” Maka, semasa kita mengampuni seseorang, kita tidak mengharapkan ganti rugi daripadanya. Rela mengampuni tidak bermaksud bahawa kita bersetuju dengan perbuatan yang salah, atau meremehkan kesan buruknya. Sebaliknya, rela mengampuni bermaksud kita tidak menyimpan dendam, biarpun “orang lain menyinggung perasaan” kita.

Masih praktikal hari ini? Kita semua tidak sempurna dan berdosa. (Roma 3:23) Maka, adalah bijak untuk rela mengampuni orang kerana kita juga memerlukan pengampunan orang lain. Jika kita mengampuni orang, kita sendiri meraih manfaat. Bagaimana?

Jika kita marah, berdendam, dan enggan mengampuni orang, kita sedang menyakiti diri sendiri. Perasaan negatif itu akan meragut kegembiraan kita, membebani kita, dan membuat kita susah hati. Kesihatan kita juga akan terjejas. Menurut laporan dalam Journal of the American College of Cardiology oleh Dr. Yoichi Chida dan Profesor Andrew Steptoe, “Hasil kajian menunjukkan bahawa kemarahan dan perasaan permusuhan berkait rapat dengan CHD [penyakit jantung koronari].”

Apakah faedahnya jika kita rela mengampuni? Kita dapat menjaga perpaduan dan kedamaian. Hasilnya, hubungan kita dengan orang lain akan terpelihara. Lebih penting lagi, jika kita rela mengampuni, kita sedang meniru teladan Tuhan. Dia rela mengampuni pendosa yang bertaubat, dan Dia ingin kita berbuat demikian juga.—Markus 11:25; Efesus 4:32; 5:1.