MILES NORTHOVER | KISAH HIDUP
Yehuwa Memberkati Usaha Saya untuk Berkhidmat kepada-Nya
Ibu bapa saya selalu menyokong organisasi Yehuwa. Contohnya, semasa para saudara di Bethel London ingin menghasilkan susu bagi ahli keluarga Bethel, bapa saya telah menyumbangkan seekor anak lembu daripada satu-satunya lembu Jersey kami. Kami selalu bergurau bahawa anak lembu itu adalah yang pertama dalam “keluarga” kami untuk berkhidmat di Bethel. Teladan baik ibu bapa saya telah mendorong saya untuk bertumpu dalam khidmat kepada Yehuwa dan ‘tidak berehat.’ (Pengkhutbah 11:6) Sebenarnya, Yehuwa telah memberi saya peluang untuk berkhidmat kepada-Nya dalam cara yang tidak dijangkakan dan Dia memberkati usaha saya. Mari saya ceritakan kisah hidup saya.
Saya membesar bersama kakak dan abang saya di kawasan luar bandar berdekatan pekan Bicester di United Kingdom. Di sana, ibu bapa saya menyewa sebuah rumah di ladang. Semasa saya berumur 19 tahun, saya menyertai adik-beradik saya dalam khidmat perintis. Kemudian, saya dilantik untuk berkhidmat sebagai perintis khas di Scotland. Selepas itu, pada tahun 1970, semasa berumur 23 tahun, saya dijemput untuk berkhidmat di Bethel London. Di sana, saya belajar bahasa isyarat. Pengalaman itu telah mengubah haluan hidup saya dan membuat hidup saya lebih memuaskan dan saya menikmati banyak berkat.
Belajar Bahasa Isyarat
Di Bethel, saya ditugaskan ke Sidang Mill Hill Saksi-Saksi Yehuwa. Di sana, saya berjumpa dengan beberapa Saksi yang pekak. Walaupun kami tidak bercakap dalam bahasa yang sama, saya tidak mahu biarkan hal itu menghalang kami daripada menjadi sahabat. Jadi, saya memutuskan untuk duduk bersama saudara saudari yang pekak semasa perjumpaan.
Pada masa itu, tiada sidang bahasa isyarat di Britain. Mereka yang pekak harus menghadiri perjumpaan dalam bahasa Inggeris. Saudara saudari yang dapat mendengar akan menterjemahkan program dengan menggunakan bahasa isyarat. Mereka akan terjemahkan kata demi kata dan mengikut tatabahasa Inggeris. Namun, seraya saudara saudari pekak mengajar saya bahasa isyarat, saya sedar bahawa bahasa mereka sebenarnya mempunyai susunan kata dan tatabahasa sendiri. Jadi, bahasa Inggeris ialah bahasa asing bagi mereka! Apabila saya sedar akan hal itu, saya lebih mengasihi dan menghormati rakan seiman yang pekak kerana mereka menghadiri perjumpaan Kristian dengan setia. Saya juga bekerja keras untuk menguasai bahasa isyarat.
Di Britain, bahasa rasmi untuk orang pekak ialah Bahasa Isyarat British, atau BSL. Seraya masa berlalu, para penterjemah di perjumpaan kami telah belajar bahasa yang maju ini berbanding menggunakan Sign Supported English. Hasilnya, orang pekak mula mendapat lebih banyak manfaat daripada perjumpaan. Mereka juga semakin bersatu padu dengan saudara saudari yang dapat mendengar. Apabila saya mengenang kembali apa yang berlaku lebih daripada 50 tahun yang lalu, saya melihat berkat Yehuwa yang melimpah dalam kerja penyebaran bahasa isyarat. Mari saya ceritakan sesetengah kemajuan utama yang telah berlaku dan peluang yang Yehuwa berikan kepada saya untuk menyokong kemajuan itu.
Kerja Penyebaran Bahasa Isyarat Berkembang
Pada tahun 1973, kira-kira setahun selepas saya dilantik untuk berkhidmat sebagai penatua, seorang saudara pekak bernama Michael Eagers mencadangkan agar kami mengadakan sesetengah perjumpaan dalam BSL. Selepas mendapat keizinan pejabat cawangan, saya dan seorang lagi penatua mengaturkan perjumpaan dalam bahasa isyarat sebulan sekali di Deptford, tenggara London.
Hasilnya sangat mengagumkan! Para Saksi pekak dari London dan bahagian lain di tenggara England menghadiri perjumpaan BSL buat kali pertama. Akhirnya, saudara saudari pekak dan orang yang berminat dapat belajar tentang Yehuwa dan Bible dalam bahasa mereka sendiri. Selepas program itu, kami berkongsi pengalaman dan menikmati makanan dan minuman ringan. Saya juga berpeluang untuk menggalakkan sesetengah saudara saudari yang pekak.
Kemudian, perjumpaan dalam bahasa isyarat juga diadakan di kota-kota Birmingham dan Sheffield. Banyak saudara saudari yang dapat mendengar dan yang ingin belajar BSL juga menghadiri perjumpaan itu. Pada kemudian hari, kebanyakan antara mereka telah membantu meluaskan penyebaran dalam bahasa isyarat di kawasan-kawasan England yang lain.
Saya Mendapat Teman Hidup
Pada tahun 1974, saya berjumpa dengan seorang saudari cantik bernama Stella Barker, yang berkhidmat sebagai perintis khas di sebuah sidang berdekatan Bethel. Kami jatuh cinta dan kemudian berkahwin pada tahun 1976. Selepas itu, kami berdua berkhidmat sebagai perintis khas. Sidang kami terletak di Hackney di Utara London. Di sana, Stella menyertai saya untuk menyokong kawasan penyebaran bahasa isyarat. Apabila saya kenang kembali saat itu, saya sedar bahawa merintis bersama merupakan cara yang paling baik untuk memulakan hidup kami sebagai pasangan suami isteri.
Tidak lama kemudian, saya dan Stella dijemput untuk berkhidmat sebagai pekhidmat ulang-alik Bethel. Kehidupan kami sangat sibuk! Saya juga menjadi pengganti penyelia litar, mengendalikan Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik, dan kemudian membantu mengaturkan terjemahan bahasa isyarat untuk konvensyen serantau bahasa Inggeris. Ada kalanya kami rasa penat, tetapi tugas itu menyegarkan dan membawa sukacita.—Matius 11:28-30.
Pada tahun 1979 dan 1982, kami mendapat dua orang anak lelaki, iaitu Simon dan Mark. Kami sangat gembira tetapi ini merupakan satu lagi tanggungjawab yang besar. Bagaimana kami mengurus semua tanggungjawab itu? Saya dan Stella memutuskan bahawa apabila saya harus pergi ke satu tempat untuk tugasan teokratik saya, kami sekeluarga akan pergi bersama dan cari masa untuk menikmati rekreasi. Kami mahu anak-anak kami sedar bahawa menyembah Yehuwa akan membawa sukacita! Hasilnya seraya anak-anak kami membesar, mereka bukan sahaja belajar bahasa isyarat tetapi mereka juga mula merintis. Setelah kira-kira 40 tahun anak lembu ibu bapa saya memulakan “khidmat Bethel,” Simon dan Mark juga pergi ke Bethel. Kami sangat teruja!
Cuba Membantu Orang Pekak
Sehingga tahun 1990-an, belum ada penatua pekak di Britain, namun ada beberapa pembantu sidang yang pekak. Jadi, para penatua yang dapat mendengar tetapi tidak tahu berbahasa isyarat harus menentukan jika ada antara pembantu sidang itu “layak untuk mengajar” dan dapat berkhidmat sebagai penyelia. (1 Timotius 3:2) Salah seorang pembantu sidang yang pekak ialah Saudara Bernard Austin. Dia menyertai sidang bahasa Inggeris tempatan. Dia seorang saudara yang sangat dihormati dan sangat mengambil berat terhadap biri-biri Yehuwa. Saya sangat gembira apabila mendengar bahawa Bernard telah dilantik sebagai penatua! Sebenarnya, dia ialah penatua pekak yang pertama di Britain.
Pada tahun 1996, satu lagi peristiwa bersejarah telah berlaku. Pejabat cawangan telah meluluskan untuk membentuk sidang bahasa isyarat yang pertama di Britain. Sidang ini terletak di Ealing di Barat London. Selepas itu, ada lebih banyak kemajuan yang berlaku.
Mendapat Manfaat daripada Semua Perjumpaan Kristian
Pada tahun 1980-an dan 1990-an, saya bekerja dari rumah saya untuk membantu Bahagian Kerja Penyebaran di Bethel. Saya menjawab soalan-soalan berkenaan sidang dan kerja penyebaran bahasa isyarat. Ada kalanya, para saudara menulis surat kepada pejabat cawangan untuk menanya tentang bagaimana mereka dapat membantu orang pekak memahami ceramah yang disampaikan di perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen bahasa Inggeris. Pada masa itu, tiada penterjemah bahasa isyarat untuk perjumpaan yang lebih besar dan tiada bahan bacaan untuk orang pekak. Jadi, saya selalu menggalakkan saudara saudari yang dapat mendengar dan yang pekak untuk bersabar dan menantikan Yehuwa.
Kesabaran kami diberkati! Tidak lama kemudian, pejabat cawangan telah mengaturkan penterjemah bahasa isyarat di perjumpaan dan perhimpunan bahasa Inggeris. Bukan itu sahaja, orang pekak akan duduk di barisan hadapan supaya mereka dapat melihat dengan jelas penceramah dan penterjemah. Kini, saudara saudari yang pekak benar-benar merasai kasih Yehuwa terhadap mereka, dan mereka sedar bahawa mereka merupakan ahli keluarga Yehuwa yang berharga.
Pada 1 April 1995, hari perhimpunan istimewa bahasa isyarat yang pertama telah diadakan di Dewan Perhimpunan di Dudley di Barat Midlands. Saya telah membantu Saudara David Merry, seorang bekas penyelia litar, untuk mengaturkan perhimpunan itu. Sesetengah Saksi yang pekak sanggup mengadakan perjalanan ratusan kilometer untuk menghadiri program itu. Ada yang datang dari Scotland di utara dan Cornwall di barat daya. Saya masih ingat betapa gembiranya semua orang apabila lebih daripada 1,000 orang menghadiri perhimpunan yang bersejarah ini.
Pada tahun 2001, pejabat cawangan meminta saya dan Saudara Merry untuk mengaturkan konvensyen serantau BSL untuk tahun yang berikutnya. Kami perlu buat banyak kerja! Tetapi Yehuwa memberkati usaha banyak sukarelawan, dan konvensyen itu berlangsung dengan jayanya dan merupakan kenangan yang tidak dapat dilupakan! Selepas itu, saya berpeluang untuk mengaturkan perhimpunan dan konvensyen bahasa isyarat untuk beberapa tahun sehinggalah Yehuwa melantik para saudara yang lebih muda untuk melaksanakan tugas itu.
Video-Video untuk Orang Pekak
Pada tahun 1998, kami sangat gembira kerana organisasi Yehuwa telah mengeluarkan bahan terbitan bahasa isyarat dalam BSL yang pertama, iaitu brosur Apakah yang Dikehendaki oleh Tuhan daripada Kita?—Kaset Video. Selepas itu, ada banyak lagi bahan terbitan telah dikeluarkan. Melalui brosur itu, kami telah mengadakan banyak pembelajaran Bible.
Semasa konvensyen tahun 2002, lagu teokratik telah diterjemahkan dalam BSL buat kali pertama. Kini, saudara saudari yang pekak dapat “menyanyikan” lagu teokratik dalam bahasa mereka sendiri bersama penterjemah dan mereka dapat menghayati irama muzik. Saya masih ingat seorang penatua yang pekak sangat gembira sehingga dia mula menangis semasa dia “menyanyikan” lagu teokratik dalam bahasa isyarat buat kali pertama!
Satu lagi peristiwa bersejarah telah berlaku semasa konvensyen tahun 2002. Sidang Bahasa Isyarat London telah dijemput untuk menghasilkan satu rakaman drama. Tetapi bagaimana kami dapat melakukannya? Kami tiada pengalaman! Sekali lagi, Yehuwa telah membantu kami. Dia membantu kami mencari para saudara yang tahu untuk membuat dan menyunting rakaman filem. Hasil rakaman itu sangat baik! Selain itu, pengalaman daripada projek itu sangat berguna kerana antara tahun 2003 dan 2008, saya berpeluang untuk menyelia penghasilan drama video di Bethel untuk konvensyen BSL yang akan datang.
Saya dan Stella suka berkhidmat di Bethel bersama anak-anak kami. Tetapi kerja di situ memang mencabar! Selepas beberapa minggu berlatih dan membuat rakaman, para pelakon dan pasukan video penat secara fizikal dan mental. Namun usaha itu sangat berbaloi! Kami sangat gembira apabila melihat kisah Bible menjadi nyata bagi saudara saudari yang pekak dan ramai antara mereka menangis kegembiraan.
Yehuwa memberi kami banyak lagi kurniaan rohani. Pada tahun 2015, kami menerima edisi pembelajaran Menara Pengawal dalam BSL dalam bentuk video. Kemudian pada tahun 2019, buku Matius telah dikeluarkan dalam bentuk yang sama. Sekarang kami ada Kitab Yunani Kristian yang lengkap dan Kitab Ibrani pula sedang disediakan. Saudara saudari yang pekak amat bersyukur kepada Yehuwa!
Sebagai umat Yehuwa, kita merupakan sebahagian daripada keluarga rohani yang mencerminkan sifat Bapa kita yang pengasih dan tidak berat sebelah. (Kisah 10:34, 35) Sehingga sekarang, saya dan keluarga saya sangat kagum dengan masa, tenaga, dan sumber yang digunakan oleh organisasi kita untuk membantu segala macam orang, termasuk mereka yang buta dan pekak. a
Semua usaha itu memang berbaloi kerana kini sudah ada beberapa sidang BSL di Britain. Saya sangat bersukacita dan puas hati kerana telah melihat kerja penyebaran dalam bahasa isyarat berkembang daripada “permulaan yang kecil.” (Zakharia 4:10) Sememangnya, Yehuwalah yang menjayakan semua itu. Dia membimbing organisasi-Nya dan melengkapi hamba-hamba-Nya untuk menyebarkan berita baik kepada segala macam orang. Dia juga telah membuat benih Kerajaan Tuhan bertumbuh di hati orang yang berhati jujur.