Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

DAYRELL SHARP | KISAH HIDUP

Dengan Kekuatan Tuhan, Kita Tidak Berundur

Dengan Kekuatan Tuhan, Kita Tidak Berundur

“Dia tidak akan bertahan sampai sebulan!” Itulah yang dikatakan oleh sesetengah saudara di sidang saya semasa saya memohon untuk menjadi perintis sokongan pada tahun 1956. Pada masa itu, saya berumur 16 tahun dan sudah dibaptis selama empat tahun. Saya dibaptis sebab seorang saudara yang saya suka menggalakkan saya untuk berbuat demikian. Pada masa itu, para penatua tidak menilai sama ada seseorang layak dibaptis atau tidak.

 Para saudara ada sebab yang baik untuk meragui sama ada saya akan terus merintis atau tidak. Saya bukan seorang yang berfikiran rohani. Saya tidak suka kerja penyebaran dan saya akan berdoa supaya hujan turun pada hari Ahad dan saya tidak perlu keluar menginjil. Jika saya keluar menginjil, saya akan tawarkan majalah sahaja. Saya tidak pernah menggunakan Bible semasa menginjil. Ibu yang saya kasihi memberi saya duit supaya saya menyertai pembacaan Bible di perjumpaan. Saya bukan seorang pelajar yang baik dan saya tiada matlamat rohani.

 Pada musim panas, kami ada perhimpunan distrik, yang kini dipanggil sebagai konvensyen serantau, di Cardiff, Wales. Sejak itu, hidup saya berubah. Seorang penceramah menanya beberapa soalan yang buat saya berfikir. Penceramah itu bertanya kepada hadirin, “Sudahkah anda membaktikan diri dan dibaptis?” Saya fikir, “Ya.” “Adakah anda berjanji untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan segenap hati, jiwa, akal, dan kekuatan?” “Ya.” “Adakah anda mempunyai masalah kesihatan atau tanggungjawab keluarga yang menghalang anda untuk merintis?” “Tiada.” “Adakah apa-apa yang menghalang anda untuk merintis?” “Tiada.” “Jika jawapan anda kepada soalan terakhir ialah tiada, mengapakah anda tidak merintis?”

 Pada masa itu, saya dapat menilai keadaan saya dengan lebih jelas. Saya sedar bahawa saya sedang mensia-siakan hidup saya. Saya tidak menepati janji pembaktian saya. Saya tidak berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh jiwa. Saya fikir jika saya ingin Yehuwa menepati janji-Nya kepada saya, saya patut menepati janji saya kepada-Nya. Jadi pada bulan Oktober 1956, saya mula menjadi perintis sokongan.

Pada tahun 1959, saya ditugaskan ke Aberdeen sebagai perintis khas

 Pada tahun yang berikutnya, saya menjadi perintis biasa dan berpindah ke sidang yang mempunyai 19 orang penyiar. Semenjak saya ikut sidang itu, saya ditugaskan untuk menyampaikan ceramah setiap minggu. Para saudara sangat sabar membantu saya untuk membaiki apa yang saya katakan dalam ceramah saya dan cara saya menyampaikannya. Dua tahun kemudian, pada tahun 1959, saya dilantik sebagai perintis khas dan ditugaskan ke Aberdeen, di bahagian utara Scotland. Beberapa bulan kemudian, saya dijemput untuk berkhidmat di Bethel London. Saya berpeluang untuk membantu di bahagian percetakan selama tujuh tahun.

 Saya suka kehidupan di Bethel tetapi saya juga ada keinginan untuk melakukan lebih banyak dalam kerja penyebaran. Pada masa itu, saya masih muda, sihat, dan sudi untuk digunakan oleh Yehuwa di mana-mana sahaja. Jadi pada bulan April 1965, saya memohon untuk menghadiri Sekolah Gilead untuk menerima latihan sebagai mubaligh.

 Pada tahun itu, saya dan rakan sebilik saya menghadiri konvensyen di Berlin, Jerman. Kami juga pergi melihat Tembok Berlin yang sudah dibina beberapa tahun sebelum itu.

 Semasa konvensyen itu, kami berpeluang untuk menyertai kerja penyebaran. Saya ditugaskan untuk menginjil bersama Susanne Bandrock. Kami berkahwin pada tahun 1966. Dua tahun kemudian, kami dijemput untuk menghadiri kelas Gilead yang ke-47. Hal itu sememangnya suatu berkat yang besar. Sekolah lima bulan itu berlalu dengan cepat sekali. Kami ditugaskan ke Zaire, yang kini dipanggil sebagai Republik Demokratik Congo. Kami sangat terkejut! Kami tidak tahu tentang negara itu. Kami berasa risau, tetapi kami menerima tugasan itu dan bersandar pada Yehuwa.

Pada tahun 1969, saya dan Susanne tamat Sekolah Gilead

 Selepas berjam-jam di lapangan terbang dan dalam kapal terbang, kami tiba di sebuah pekan perlombongan di Kolwezi. Kami hairan mengapa tiada saudara saudari yang datang. Rupa-rupanya, mereka menerima mesej tentang ketibaan kami melalui telegram dua hari selepas kami sampai. Semasa di lapangan terbang, seorang pegawai menghampiri kami dan bercakap dalam bahasa Perancis. Kami langsung tidak faham. Seorang wanita di hadapan kami menterjemahkannya kepada kami: “Kamu sedang ditahan.”

 Pegawai yang menangkap kami memaksa seorang lelaki menggunakan kereta sportnya yang tua dan kecil untuk membawa kami. Kereta itu hanya ada dua tempat duduk. Jadi pegawai itu dan pemilik kereta itu duduk berhimpit-himpit di sebelah saya dan Susanne. Keadaan itu sangat lucu. Kereta kami melalui jalan yang berlubang-lubang dan but kereta itu ternganga seperti seekor ikan yang sedang menelan bagasi kami.

 Kami pandu sehingga tiba di rumah mubaligh. Kami tidak tahu di mana rumah itu, tetapi pegawai itu tahu lokasi rumah mubaligh. Pagar dikunci dan tiada seorang pun di rumah. Para mubaligh menghadiri konvensyen antarabangsa dan pergi bercuti. Sambil berdiri di bawah matahari yang terik, kami tertanya-tanya apa yang akan berlaku. Akhirnya, seorang saudara tempatan sampai. Apabila dia nampak kami, dia tersenyum lebar dan kami pun berasa lega. Dia kenal pegawai itu. Pegawai itu nampaknya mahu minta wang daripada kami. Selepas saudara itu menjelaskan tentang kami kepadanya, pegawai itu pun pergi. Selepas itu, kami mula tinggal di situ.

Di luar rumah mubaligh di Zaire bersama dengan Nathan H. Knorr semasa lawatannya pada tahun 1971

Ini Bukanlah Masanya untuk Berundur

 Kami dikelilingi oleh saudara saudari yang ceria dan pengasih biarpun mereka menghadapi banyak cabaran. Pergolakan dan pemberontakan telah menyebabkan banyak keganasan di negara itu selama 10 tahun. Pada tahun 1971, Saksi-Saksi Yehuwa tidak lagi diakui secara sah. Kami tertanya-tanya bagaimana kami dapat menghadapi situasi itu.

 Sekarang bukanlah masanya untuk berundur. Saudara saudari menghadapi cabaran apabila disuruh membawa kad parti politik dan memakai pin parti. Walaupun keneutralan mereka diuji, hanya beberapa orang yang menyerah kepada tekanan itu. Jika mereka tidak memakai pin itu, mereka tidak boleh menerima perkhidmatan daripada kerajaan dan mereka akan dianiaya oleh tentera dan polis. Saudara saudari kehilangan kerja mereka, dan anak-anak dibuang sekolah. Ratusan rakan seiman dipenjarakan. Masa itu sangat susah. Namun, para Saksi terus menyebarkan berita baik dengan berani.

Kami Memerlukan Ketabahan

 Sepanjang tahun-tahun itu, saya dan Susanne berkhidmat dalam kerja litar dan distrik. Kami meluangkan sebahagian besar masa kami untuk pergi ke kawasan terpencil. Semasa kami tinggal di kawasan kampung, kadangkala kami menghadapi situasi yang mencabar. Rumah yang beratap jerami sangat kecil untuk tidur. Saya tidak ingat sudah berapa kali kepala saya terhantuk pada pintu semasa berjalan. Kami mandi menggunakan air yang diambil daripada sungai. Pada waktu malam, kami membaca menggunakan lilin. Kami memasak menggunakan arang. Tetapi kami menganggap semua ini sebagai kehidupan mubaligh. Itulah sebabnya kami berkhidmat di sini. Kami berasa bahawa kami berada di barisan hadapan aktiviti teokratik.

 Semasa tinggal bersama dengan keluarga Saksi di sana, kami belajar untuk menghargai perkara yang asas, seperti makanan, air, pakaian, dan tempat tinggal. (1 Timotius 6:8) Perkara-perkara lain yang kami terima pula ialah kurniaan. Sehingga hari ini, kami masih ingat tentang pengajaran ini.

 Biarpun kami tidak pernah menghadapi cabaran yang dihadapi Paulus, kadangkala perjalanan kami menguji iman kami dan motif kami. Kami perlu melalui jalan yang sangat teruk atau yang hampir tidak wujud. Kereta kami bergegar dengan teruk semasa melalui jalan yang berbatu. Kadangkala, kereta kami tenggelam dalam pasir. Semasa musim hujan, kereta kami tersangkut dalam lumpur seolah-olah terlekat dengan gam. Pernah sekali, semasa perjalanan kami sepanjang hari, kami hanya dapat memandu sejauh 70 kilometer dan kami perlu menggali tanah untuk mengeluarkan kereta kami sebanyak 12 kali.

Dalam tugasan kami, keadaan jalan selalu menjadi masalah bagi kami

 Semasa kami menghadapi cabaran di kawasan terpencil, kami berasa lebih dekat lagi dengan Yehuwa. Kami belajar bahawa dengan bantuan Yehuwa, kami dapat bertabah dan bersukacita meskipun kami tidak dapat mengubah situasi yang susah. Susanne tidak begitu suka aktiviti luar atau aktiviti lasak. Namun, semasa menghadapi cabaran dan kesusahan, dia tidak pernah bersungut-sungut. Apabila kami mengenang kembali masa itu, kami berasa gembira dan diberkati. Kami juga belajar banyak daripada pengalaman kami.

 Sepanjang masa kami di Zaire, saya ditahan untuk beberapa kali. Pernah sekali, saya dituduh terlibat dalam membeli dan menjual berlian secara haram. Hal ini memang membuat kami risau, tetapi kami kata jika Yehuwa ingin kami melaksanakan tugasan aktiviti penyebaran kami, Dia pasti akan membantu kami. Sememangnya, Yehuwa telah membantu kami.

Terus Berkhidmat kepada Yehuwa

 Pada tahun 1981, kami dijemput untuk berkhidmat di pejabat cawangan Kinshasa. Setahun sebelum itu, kerja kita telah diiktiraf di sisi undang-undang sekali lagi. Para saudara membeli sebidang tanah supaya dapat membina pejabat cawangan yang lebih besar. Kemudian tanpa disangkakan, pada bulan Mac 1986, presiden negara itu telah mengeluarkan larangan terhadap kerja Saksi-Saksi Yehuwa. Jadi kerja pembinaan dihentikan. Tidak lama kemudian, kebanyakan mubaligh telah meninggalkan negara itu.

Untuk beberapa tahun, kami berkhidmat di pejabat cawangan Zaire

 Kami masih dapat meneruskan tugasan kami untuk seketika. Kami melakukan apa yang terdaya untuk terus menginjil meskipun kami tahu bahawa kami sentiasa diperhatikan oleh para pegawai. Biarpun kami berhati-hati, saya ditangkap semasa mengendalikan pembelajaran Bible. Saya dikurung dalam penjara yang besar yang sesak dengan banduan lain. Tempat itu sangat panas, busuk, gelap, dan tidak berangin. Hanya ada sedikit cahaya dan udara yang segar masuk melalui sebuah lubang yang kecil di atas dinding. Beberapa banduan membawa saya untuk berjumpa dengan ketua mereka. Dia berkata, “Nyanyi lagu kebangsaan kita!” Saya kata, “Saya tidak tahu.” Banduan lain berkata, “Nyanyi lagu kebangsaan negara kamu sendiri.” Saya kata, “Itu pun saya tidak tahu.” Ketua itu menyuruh saya berdiri dekat dinding selama 45 minit. Akhirnya, seorang saudara tempatan berjaya membuat rundingan untuk membebaskan saya.

Pada tahun 1987, tidak lama setelah tiba di pejabat cawangan Zambia

 Kami melihat bahawa keadaan tidak bertambah baik di negara itu. Jadi tidak lama kemudian, kami ditugaskan ke Zambia. Semasa kami menyeberangi sempadan, kami berasa sedih tetapi pada masa yang sama kami berasa lega. Kami terfikir tentang khidmat kami bersama para mubaligh dan saudara saudari tempatan yang setia selama 18 tahun di sana. Biarpun kadangkala keadaan sangat tertekan, kami berasa bahawa Yehuwa telah memberkati kami. Kami tahu bahawa Yehuwa selalu bersama kami. Kami ada belajar bahasa Swahili dan Perancis. Susanne juga ada belajar bahasa Lingala. Kami meraih banyak hasil dalam kerja penyebaran. Kami telah membantu lebih daripada 130 orang untuk membuat kemajuan sehingga dibaptis. Kami juga berasa sangat puas hati kerana kami sudah menyediakan asas supaya lebih ramai orang dapat belajar kebenaran pada masa depan. Memang ada banyak peningkatan yang pesat selepas itu! Pada tahun 1993, Mahkamah Agung telah membatalkan sekatan yang dikenakan pada tahun 1986. Kini ada lebih daripada 240,000 penyiar di Congo.

 Semasa kami di Zambia, kami dapat menyaksikan pembinaan pejabat cawangan yang baharu dan juga usaha untuk menambahkan bangunan bagi cawangan itu. Sekarang ada lebih daripada tiga kali ganda penyiar yang aktif berbanding semasa kami baru tiba pada tahun 1987.

Gambar pejabat cawangan Zambia dari pandangan atas

 Jadi, apakah yang telah berlaku kepada saudara muda yang nampaknya hanya akan merintis selama satu bulan? Dengan berkat Yehuwa dan sokongan isteri yang saya kasihi, Suzanne, saya telah meluangkan masa selama 65 tahun dalam khidmat sepenuh masa. Saya telah merasakan sendiri betapa baiknya Yehuwa!—Mazmur 34:8.

 Kami bukannya istimewa. Kami hanya berusaha sedaya upaya untuk menepati janji pembaktian kami. Kita percaya bahawa Yehuwa akan terus membantu kita untuk tidak “berundur” dan mengukuhkan iman kita agar nyawa kita terpelihara.—Ibrani 10:39.

Saya dan Susanne terus berkhidmat di pejabat cawangan Zambia

 Sila tonton video Dayrell dan Susanne Sharp: Kami Berjanji untuk Menyembah Yehuwa dengan Sepenuh Jiwa.