Adakah Agama Suatu Perniagaan?
Adakah anda perhatikan bahawa banyak agama nampaknya lebih bertumpu kepada mencari keuntungan daripada memberikan bimbingan rohani? Mereka mengiklankan dan menjual perkhidmatan dan barangan mereka. Ramai pemimpin agama dibayar gaji yang tinggi dan hidup mewah. Perhatikan beberapa contoh berikut:
Menurut sebuah siasatan, selama lebih daripada 13 tahun, seorang uskup Katolik menggunakan wang gereja untuk menaiki pesawat peribadi kira-kira 150 kali dan kereta limusin sebanyak 200 kali. Dia juga menghabiskan lebih daripada empat juta dolar untuk mengubah suai kediamannya yang dimiliki gereja.
Seorang penginjil di sebuah negara Afrika selalu mengadakan upacara keagamaan yang dihadiri puluhan ribu orang. Gerejanya yang besar menjual pelbagai jenis barangan, seperti “minyak mukjizat” serta tuala dan kemeja-T yang mempunyai gambar mukanya. Kebanyakan hadirin di gereja itu miskin, tetapi dia pula sangat kaya.
Di negara China, dua daripada empat buah gunung suci Buddha ialah syarikat awam. Kuil Shaolin yang terkenal pula terlibat dalam banyak projek perdagangan sehinggakan ketua sami kuil itu dipanggil “sami CEO.”
Di Amerika Syarikat, banyak syarikat mula mengupah penasihat untuk membuat upacara agama dan memberikan bimbingan rohani kepada pekerja mereka.
Apakah perasaan anda terhadap agama yang terlibat dalam perniagaan? Pernahkah anda terfikir tentang perasaan Tuhan terhadap orang yang cuba mendapatkan duit daripada aktiviti keagamaan orang lain?
Apakah perasaan Tuhan apabila melihat agama dicampuri perniagaan?
Tuhan tidak berkenan dengan tindakan mencampuri agama dengan perniagaan. Bible menunjukkan bahawa pada masa lalu, Tuhan sangat marah terhadap para imam yang mengakui diri sebagai wakil-Nya sambil mengajar orang “untuk mendapat upah.” (Mikha 3:11) Tuhan mengutuk perbuatan berjual beli yang telah menjadikan rumah-Nya seperti “sarang perompak.”—Yeremia 7:11.
Seperti Tuhan, Yesus juga sangat marah terhadap orang yang menggunakan agama untuk mendapatkan keuntungan. Pada zaman Yesus, pemimpin agama membenarkan para peniaga untuk berniaga di Rumah Tuhan di Yerusalem dan mengaut keuntungan daripada mereka. Para peniaga yang tamak itu mengambil kesempatan atas orang yang datang untuk beribadat. Yesus dengan berani mengusir para peniaga itu dari Rumah Tuhan. Dia berkata, “Jangan lagi jadikan Rumah Bapaku tempat berniaga!”—Yohanes 2:14-16.
Yesus juga mencerminkan fikiran Tuhan semasa dia melakukan kegiatannya di bumi. (Yohanes 8:28, 29) Dia tidak pernah mengenakan bayaran semasa mengajar orang tentang Tuhan atau semasa melakukan mukjizat, seperti memberikan makanan kepada ribuan orang, menyembuhkan penyakit, dan membangkitkan orang mati. Yesus tidak pernah menggunakan khidmatnya untuk menjadi kaya. Dia bahkan tidak mempunyai rumah sendiri.—Lukas 9:58.
Bagaimanakah orang Kristian abad pertama memastikan ibadat mereka tidak dicampuri perniagaan?
Yesus memberitahu pengikutnya agar tidak menggunakan kegiatan agama untuk mengaut keuntungan. Dia berkata, “Kamu menerima secara percuma, jadi berilah dengan percuma.” (Matius 10:8) Para pengikut Yesus, yang kemudiannya dikenali sebagai orang Kristian, mengikut arahan Yesus. Perhatikan beberapa contoh berikut:
Rasul Petrus pernah berkhidmat bersama Yesus. Pernah sekali, seorang lelaki yang bernama Simon menawarkan wang kepadanya kerana ingin mendapatkan kuasa dan kedudukan. Petrus segera menolak tawarannya dan dengan tegas menegurnya. Dia berkata, “Binasalah kamu bersama-sama wang perakmu! Kamu menyangka bahawa kamu boleh menggunakan wang untuk membeli kurniaan Tuhan yang diberikan secara percuma.”—Kisah 8:18-20.
Rasul Paulus ialah penyelia lawatan yang mengunjungi sidang-sidang Kristian pada masa awal. Selama bertahun-tahun khidmatnya, dia tidak pernah cuba mendapatkan keuntungan. Dia dan rakan seimannya “tidak memperdagangkan firman Tuhan seperti yang dilakukan oleh ramai orang.” (2 Korintus 2:17) Sebaliknya, Paulus menulis, “Semasa kami menyebarkan berita baik tentang Tuhan kepada kamu, kami bekerja siang dan malam, supaya kami tidak menjadi beban yang berat dari segi kewangan kepada sesiapa pun dalam kalangan kamu.”—1 Tesalonika 2:9.
Sudah tentu, mereka memerlukan wang untuk menyokong kerja penyebaran dan kerja membantu orang. Namun, mereka tidak pernah mengenakan bayaran bagi khidmat mereka. Sebaliknya, orang boleh memberikan sumbangan dengan sukarela berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
2 Korintus 8:12: “Seseorang yang memberi dengan rela hati sangat diperkenankan Tuhan, kerana Tuhan mahu seseorang memberi berdasarkan apa yang dimiliki, bukan apa yang tidak dimiliki.”
Maksud: Niat seseorang lebih penting daripada jumlah yang diberikannya.
2 Korintus 9:7: “Hendaklah setiap orang melakukan apa yang telah diputuskan dalam hati masing-masing. Janganlah melakukannya dengan berat hati atau secara terpaksa, kerana Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.”
Maksud: Tuhan tidak mahu sesiapa pun untuk berasa terpaksa semasa memberi. Dia senang hati semasa orang memberi dengan rela.
Apakah yang akan terjadi kepada agama yang tamak?
Bible jelas menyatakan bahawa bukan semua agama atau ibadat diterima Tuhan. (Matius 7:21-23) Dalam satu nubuat Bible, semua agama palsu disamakan dengan seorang pelacur kerana mereka bersekutu dengan kerajaan manusia. Mereka bekerjasama untuk mendapatkan keuntungan dan menindas orang daripada segala bangsa. (Wahyu 17:1-3; 18:3) Nubuat itu juga menunjukkan bahawa tidak lama lagi, Tuhan akan menjatuhkan hukuman ke atas agama palsu.—Wahyu 17:15-17; 18:7.
Tuhan tidak mahu perbuatan jahat agama palsu menyesatkan orang atau menghalang mereka daripada menghampiri-Nya. (Matius 24:11, 12) Dia menggesa orang yang berhati jujur untuk belajar menyembah-Nya dalam cara yang diterima-Nya dan untuk menjauhi agama palsu.—2 Korintus 6:16, 17.