Ahli Bomba yang Sedang Bercuti Menyelamatkan Nyawa
Pada hari Ahad, 5 Januari 2014, Serge Gerardin menaiki sebuah bas untuk pergi ke perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa yang berlangsung berdekatan Paris, Perancis. Sewaktu dalam perjalanan, dia menyaksikan kemalangan yang mengerikan. “Sebuah kereta melanggar pengadang konkrit sebuah jambatan lalu terpelanting ke udara,” katanya. “Kemudian kereta itu melanggar jambatan itu, terbakar lalu terbalik.”
Serge ialah seorang ahli bomba selama lebih daripada 40 tahun, dan dia merupakan kapten sebuah pasukan bomba. Setelah dia nampak apa yang berlaku, dia segera bertindak. Dia berkata, “Meskipun kami berada di arah jalan yang bertentangan, saya meminta pemandu bas untuk berhenti. Kemudian saya berlari ke kereta yang sedang terbakar itu.” Serge mendengar orang berteriak meminta tolong. Dia berkata, “Waktu itu, saya memakai sut dan tali leher, dan saya tidak bawa apa-apa alat keselamatan. Tapi suara teriakan itu menandakan bahawa masih ada orang di dalam kereta itu yang dapat diselamatkan!”
Serge mengelilingi kereta itu dan menjumpai seorang penumpang yang kebingungan. Dia pun membawa penumpang itu ke tempat yang selamat. Serge berkata, “Penumpang itu memberitahu saya bahawa masih ada dua orang dalam kereta. Pada waktu itu, beberapa buah kereta sudah berhenti di situ. Tetapi oleh sebab api terlalu besar dan panas, orang ramai tidak berani untuk menghampiri kereta itu.”
Beberapa orang pemandu lori berlari ke kereta itu dengan membawa alat pemadam api. Atas arahan Serge, mereka berjaya memadamkan api itu buat sementara. Pada waktu itu, barulah mereka sedar bahawa pemandu kereta itu terjepit di bawah kereta. Maka Serge dan beberapa orang yang lain bekerjasama untuk mengangkat kereta itu dan menarik pemandunya keluar lalu membawanya ke tempat yang selamat.
Serge berkata, “Tiba-tiba, api itu menyala semula!” Tetapi masih ada seorang lagi penumpang di dalam kereta itu. Dia tersekat di dalam kereta kerana tali pinggang keledarnya. Tidak lama kemudian, seorang ahli bomba yang juga sedang bercuti lalu di situ. Serge berkata, “Saya menjelaskan bahawa kereta itu mungkin akan meletup. Jadi kami segera menarik lengan penumpang itu untuk mengeluarkannya dari kereta.” Kurang daripada seminit kemudian, kereta itu pun meletup.
Apabila pasukan bomba dan ahli perubatan tiba, mereka merawat mangsa-mangsa kemalangan itu dan memadamkan api. Serge juga dirawat kerana tangannya luka dan terbakar. Ketika dia kembali ke basnya, beberapa orang mendekatinya dan mengucapkan terima kasih.
Serge amat bersyukur kerana dia dapat membantu. Dia berkata, “Saya berasa bahawa saya wajib menyelamatkan mereka kerana inilah perbuatan yang diperkenankan Yehuwa, Tuhan saya. Saya amat puas hati kerana saya dapat menyelamatkan mereka.”