Kempen yang Menyelamatkan Nyawa
Di Tabasco, Mexico, angka orang yang membunuh diri sangat tinggi. Oleh itu, Saksi-Saksi Yehuwa telah mengadakan kempen istimewa selama dua bulan pada tahun 2017. Mereka mengedarkan majalah Sedarlah! terbitan April 2014, yang bertajuk “Buat Apa Hidup?—Tiga Alasan untuk Terus Hidup.” a Kempen itu sangat dihargai.
Bantuan yang Tepat pada Masanya
Faustino, salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa, bercakap dengan seorang wanita yang risau tentang anak lelakinya yang berumur 22 tahun. Anaknya mengalami kemurungan dan pernah cuba membunuh diri. Wanita itu tidak tahu cara untuk membantu anaknya. Namun, bila Faustino menawarkan majalah itu kepadanya, dia berkata, “Inilah yang diperlukan anak saya.” Keesokan hari, Faustino melawat anak wanita itu dan membincangkan nasihat Bible yang terkandung dalam majalah itu. Setelah beberapa kunjungan, sikap anak itu semakin berubah. Faustino berkata, “Dia nampak lebih tenang dan gembira sekarang.” Bukan itu sahaja, anak itu juga mengongsi apa yang dipelajarinya dengan adiknya yang juga mengalami kemurungan.
Karla, yang tinggal di Huimanguillo, menggunakan majalah itu untuk membantu seorang rakan kelasnya. “Saya nampak gadis berumur 14 tahun di kelas saya kelihatan sedih,” kata Karla. “Saya cuba bercakap dengannya, dan dia menjelaskan situasi keluarganya. Semasa kami bercerita, saya nampak parut pada tangan kirinya.” Rupa-rupanya gadis itu selalu melukai tangan dan kakinya kerana berasa bahawa dirinya hodoh dan kehidupannya tidak bermakna. Karla mengongsi majalah Sedarlah! dengannya. Setelah membacanya, dia memberitahu Karla bahawa majalah itu seolah-olah ditulis untuknya. Sambil tersenyum, dia berkata bahawa sekarang dia rasa kehidupannya memang bermakna.
Di kota Villahermosa, seorang lelaki telah kehilangan kerjanya, dan isterinya juga telah meninggalkan dia dan anak-anaknya. Walaupun dia berdoa memohon bantuan Tuhan, dia masih berasa putus harapan. Sewaktu dia mahu membunuh diri, Martín dan Miguel, dua orang Saksi-Saksi Yehuwa, mengetuk pintu rumahnya. Apabila dia membuka pintu, mereka menawarkan majalah Sedarlah! kepadanya. Setelah melihat tajuk majalah itu, dia berasa bahawa Tuhan sedang menjawab doanya. Martín dan Miguel menggunakan Bible untuk melegakannya. Apabila mereka mengunjunginya beberapa hari kemudian, lelaki itu nampaknya lebih tenang. Kini mereka belajar Bible bersamanya dua kali dalam seminggu.
Para Banduan Mendengar Berita Baik
Semasa kempen itu, para Saksi juga mengunjungi beberapa buah penjara di wilayah Tabasco. Mereka ingin mengongsi nasihat Bible yang dapat membantu para banduan mencari tujuan dalam hidup. Para Saksi menyediakan penyampaian, termasuklah video, ceramah Bible, dan perbincangan berdasarkan majalah itu tentang sebab untuk terus hidup. Para banduan dan penjaga penjara menghargai kunjungan tersebut. Seorang banduan berkata, “Sudah tiga kali saya cuba bunuh diri. Ada orang kata bahawa Tuhan peduli tentang saya, tapi mereka tidak pernah buktikannya melalui Bible. Kata-kata kamu telah menguatkan saya.”
Banyak orang memperhatikan kempen yang dijalankan ini. Menteri kesihatan di wilayah itu memuji para Saksi atas usaha mereka untuk membantu masyarakat. Sebuah akhbar tempatan juga menerbitkan sebuah rencana tentang kempen ini yang bertajuk, “Mereka Memerangi Gejala Bunuh Diri.”
a Terdapat dalam bahasa Indonesia.