Lompat ke kandungan

Sesuatu yang Baru di Manhattan

Sesuatu yang Baru di Manhattan

Pada bulan November 2011, sekumpulan Saksi-Saksi Yehuwa menggunakan cara baru untuk menyebarkan mesej Bible kepada orang di Manhattan. Mereka menggunakan meja pameran dan rak mudah alih untuk meletakkan bahan bacaan Bible. Kempen ini dijalankan di bahagian selatan Manhattan, kawasan yang tertua dan paling sibuk di Bandar Raya New York.

Mereka membahagikan kawasan itu kepada empat bahagian. Di setiap bahagian, para Saksi memilih beberapa lokasi untuk meletakkan alat pameran bahan bacaan Bible. Seorang Saksi tempatan yang menginjil sepenuh masa akan ditugaskan untuk menjaga meja pameran atau rak mudah alih. Orang yang berlalu di situ boleh mengunjungi pameran tersebut. Kebanyakan alat pameran diletakkan di terminal pengangkutan awam atau berhampiran dengannya, di mana terdapat ribuan orang yang lalu-lalang di situ setiap hari.

Di pameran-pameran tersebut, orang dapat mencari jawapan Bible bagi pelbagai soalan. Mereka yang singgah di pameran tersebut juga boleh mengambil bahan bacaan Bible.

Bahan bacaan yang dipamerkan tersedia dalam beberapa bahasa. Jika bahan bacaan tidak tersedia dalam bahasa yang diingini, orang tersebut boleh membuat tempahan dan kembali untuk mengambilnya selepas beberapa hari.

Pihak berkuasa dan orang ramai gembira melihat kerja yang dilakukan oleh para Saksi. Seorang polis berkata, “Kenapa sekarang baru datang? Orang sangat memerlukan bahan bacaan kamu.”

Seorang lelaki tiba-tiba berhenti di salah sebuah pameran selepas melihat buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? Dia mengatakan bahawa terdapat banyak orang membaca buku itu semasa menaiki kereta api. Dia berasa hairan dan ingin mengetahui dari mana mereka mendapat buku itu. Akhirnya, dia menjumpai buku itu di pameran bahan bacaan para Saksi.

Setiap hari, seorang pemuda perlu melalui tempat para Saksi meletakkan meja pameran semasa dalam perjalanan ke tempat kerjanya. Enam minggu kemudian, dia akhirnya menghampiri pameran tersebut dan berkata, “Saya memerlukan bantuan.” Para Saksi yang berada di situ berasa gembira dan sudi untuk membantunya. Mereka memberi pemuda itu sebuah Bible dan menjelaskan bagaimana Bible dapat membantunya.

Banyak orang yang berminat telah mengunjungi pameran untuk membincangkan hal-hal rohani bersama dengan para Saksi. Dalam masa satu bulan sahaja, sebanyak 3,797 naskhah majalah dan 7,986 buku telah diedarkan.