Tidak Pentingkan Diri biarpun Hadapi Cabaran Kesihatan
Maria Lúcia berasal dari Brazil. Dia menghidap sindrom Usher, iaitu sejenis penyakit genetik yang menyebabkan seseorang menjadi pekak dan beransur-ansur hilang penglihatan. Sejak lahir, dia pekak dan perlu belajar bahasa isyarat semasa kecil. Kemudian, ketika berumur kira-kira 30 tahun, dia mula hilang penglihatan. Meskipun hadapi pelbagai cabaran, Maria Lúcia tidak mengasingkan diri. Kini, pada usia 70-an, dia terus jalani hidup yang bahagia dan bermakna.
Maria Lúcia mula berhubung dengan Saksi-Saksi Yehuwa pada 1977. Waktu itu, dia belum mula kehilangan penglihatannya. Dia menjelaskan, “Saya jumpa Adriano, bekas rakan sekolah saya yang ketika itu baru jadi Saksi Yehuwa. Dia kongsi dengan saya janji Tuhan tentang firdaus di bumi pada masa depan. Semua orang akan nikmati kesihatan yang sempurna pada masa itu. Saya begitu kagum dengan apa yang dikatakannya sehingga saya setuju untuk belajar Bible. Tidak lama selepas itu, saya mula menghadiri perjumpaan sidang di Rio de Janeiro, yang mana sesetengah perjumpaan diterjemahkan ke bahasa isyarat. Dengan bantuan Yehuwa, saya terus menghampiri-Nya dan dibaptis pada Julai 1978.”
Selepas seketika, Maria Lúcia berpindah ke sidang yang tidak mempunyai Saksi yang tahu bahasa isyarat. Pada mulanya, memang mencabar kerana dia tidak faham apa yang dikatakan dalam perjumpaan. Dua saudari membantunya. Semasa perjumpaan, mereka duduk dengannya dan menulis nota untuk menggambarkan apa yang dikatakan. Maria Lúcia kata, “Di rumah, saya boleh baca nota itu berulang kali supaya memahaminya. Kemudian, kedua-dua saudari ini belajar bahasa isyarat dan menjadi penterjemah bagi saya.”
Apabila penglihatan Maria Lúcia menjadi semakin teruk, dia tidak dapat lihat bahasa isyarat yang ditunjukkan oleh penterjemah. Jadi, dia mula guna bahasa isyarat sentuhan untuk berkomunikasi. Apa itu bahasa isyarat sentuhan? Dia menjelaskan, “Saya letak tangan saya pada tangan orang yang menterjemah bagi saya. Dengan cara itu, saya tahu bahasa isyarat yang digunakan penterjemah.”
Maria Lúcia bersyukur atas bantuan mereka. Dia kata, “Mereka memang hadiah bernilai daripada Yehuwa. Dengan bantuan mereka, saya mendapat manfaat daripada perjumpaan sidang, perhimpunan, dan konvensyen.”
Maria Lúcia tetap bergiat dalam kerja penyebaran. Dengan menggunakan bahasa isyarat sentuhan, dia menginjil kepada orang pekak. Mereka kagum dengan usahanya untuk mencapai mereka dengan berita baik. Semasa pandemik COVID-19, Maria Lúcia telah menulis banyak surat kepada orang pekak dengan bantuan adik lelakinya, José Antônio, yang juga pekak dan buta. a
Bagaimana Maria Lúcia tulis surat? Dia kata, “Saya guna plastik leper yang berbentuk L sebagai alat yang bantu saya tulis dalam baris yang lurus dan membentuk perenggan. José Antônio mempunyai ingatan yang sangat baik. Dia cadangkan topik-topik dan ayat-ayat Bible, dan saya masukkannya dalam surat. Saya cuba tulis dalam cara yang dapat difahami oleh orang pekak. Bukan semua orang pekak biasa dengan bahasa bertulis.”
Kini, walaupun Maria Lúcia buta sepenuhnya, dia terus bekerja keras. Karoline, salah seorang penterjemahnya kata, “Maria Lúcia lakukan semua kerja di rumah serta pastikan rumahnya bersih dan teratur. Dia suka memasak dan mengongsi masakannya dengan kawan-kawan.”
Jefferson, yang berkhidmat sebagai penatua di sidang Maria Lúcia menambah, “Maria Lúcia amat mengasihi Yehuwa. Dia juga mengasihi orang. Dia selalu buat sesuatu untuk memanfaatkan orang lain. Dia tidak pentingkan diri.”—Filipi 2:4.
a José Antônio menjadi seorang Saksi selepas Maria Lúcia dan dibaptis pada 2003. Seperti Maria Lúcia, dia dilahirkan pekak dan beransur-ansur kehilangan penglihatannya.