Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa Berpendirian Neutral dalam Hal Politik?
Saksi-Saksi Yehuwa berpendirian neutral dalam hal politik kerana kami berusaha mengikut ajaran Bible. Kami tidak berkempen, mengundi, menjadi calon politik, atau berusaha untuk mengubah sistem politik. Pendirian neutral kami berdasarkan sebab-sebab Bible yang berikut.
Kami meniru teladan Yesus yang enggan melibatkan diri dalam politik. (Yohanes 6:15) Dia mengajar pengikutnya bahawa mereka “bukan milik dunia” dan menjelaskan bahawa mereka tidak patut mengambil bahagian dalam hal ehwal politik.—Yohanes 17:14, 16; 18:36; Markus 12:13-17.
Kami setia kepada Kerajaan Tuhan yang dikhabarkan oleh Yesus. Dia berkata, ‘Berita baik tentang bagaimana Tuhan memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia.’ (Matius 24:14) Sebagai wakil Kerajaan Tuhan, kami ditugaskan untuk menyebarkan kedatangan kerajaan ini. Oleh itu, kami berpendirian neutral dalam semua hal ehwal politik negara.—2 Korintus 5:20; Efesus 6:20.
Dengan tetap neutral, kami dapat menginjil tentang Kerajaan Tuhan kepada semua orang, tidak kira apa jua pendirian politik mereka. Melalui percakapan dan tindakan, kami menunjukkan bahawa kami bersandar pada Kerajaan Tuhan untuk menyelesaikan masalah dunia.—Mazmur 56:12.
Oleh sebab kami tidak melibatkan diri dalam hal ehwal politik, kami memiliki perpaduan antarabangsa. (Kolose 3:14; 1 Petrus 2:17) Sebaliknya, agama-agama yang mencampuri urusan politik menghadapi perpecahan.—1 Korintus 1:10.
Menghormati kerajaan negara. Walaupun kami tidak mengambil bahagian dalam hal politik, kami tetap menghormati kerajaan negara kami. Bible menyatakan, “Setiap orang harus taat kepada pemerintah.” (Roma 13:1) Kami mematuhi undang-undang, membayar cukai, dan bekerjasama dengan pihak kerajaan yang berusaha untuk menjaga keperluan masyarakat. Kami tidak menentang kerajaan, sebaliknya kami mematuhi perintah Bible untuk berdoa bagi “raja-raja dan semua penguasa,” terutamanya jika keputusan mereka mempengaruhi kebebasan untuk beribadat.—1 Timotius 2:1, 2.
Kami juga menghormati hak orang lain untuk membuat keputusan peribadi mengenai hal politik. Contohnya, kami tidak akan mengganggu pilihan raya dan tidak menghalang orang lain yang ingin mengundi.
Adakah pendirian neutral kami perkara yang baru? Tidak. Para rasul dan pengikut Kristus pada abad pertama juga mempunyai pendirian yang sama. Buku Beyond Good Intentions menyatakan, “Walaupun orang Kristian masa awal tahu bahawa mereka harus menghormati para pemerintah, mereka tidak percaya bahawa mereka harus melibatkan diri dalam hal politik.” Buku On the Road to Civilization juga menyatakan bahawa orang Kristian masa dahulu “tidak menerima kedudukan politik.”
Adakah pendirian neutral kami mengancam ketenteraman negara? Tidak. Kami suka akan kedamaian, dan pihak kerajaan tidak perlu takut akan kami. Sebuah laporan daripada National Academy of Sciences of Ukraine pada tahun 2001 menyatakan mengenai keneutralan kami, “Hari ini, sesetengah orang mungkin tidak menyukai Saksi-Saksi Yehuwa kerana pendirian neutral mereka. Inilah yang menyebabkan mereka dianiaya di bawah pemerintahan Nazi dan Komunis.” Namun, di bawah pemerintahan Soviet, para Saksi terus menjadi “rakyat yang mematuhi undang-undang. Mereka bekerja dengan jujur dan rajin di ladang atau kilang. Mereka tidak menjadi ancaman kepada pihak Komunis.” Hari ini juga, kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa tidak “mengancam ketenteraman negara.”