Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa Dilatih untuk Menjalankan Kerja Penyebaran?
Saksi-Saksi Yehuwa menerima latihan dalam semua aspek kehidupan Kristian, termasuk kerja penyebaran. Yesus telah mengarahkan para pengikutnya untuk melakukan kerja ini, iaitu kerja menyebarkan dan mengajarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. (Matius 24:14; 28:19, 20) Kami menerima latihan ini semasa perjumpaan mingguan serta konvensyen dan perhimpunan tahunan. Saksi-Saksi Yehuwa yang mempunyai khidmat tertentu dalam sidang atau organisasi akan menerima lebih banyak latihan di sekolah Bible yang khas.
Dalam rencana ini
Apakah latihan yang Saksi-Saksi Yehuwa terima?
Perjumpaan sidang. Setiap minggu, kami menghadiri dua perjumpaan di tempat ibadat kami yang dipanggil Dewan Perjumpaan. Salah satu perjumpaan akan diadakan pada pertengahan minggu manakala yang satu lagi akan diadakan pada hujung minggu. Kedua-dua perjumpaan ini terbuka kepada umum dan tiada kutipan wang dibuat.
Perjumpaan pertengahan minggu. Kami belajar cara untuk meningkatkan kemahiran membaca, mengadakan perbualan, memberikan ceramah, menginjil, dan mengajar. Latihan diberikan melalui ceramah, perbincangan, demonstrasi, dan video. Latihan ini bantu kami untuk jadi lebih efektif semasa mengongsi mesej Bible dan mengendalikan pembelajaran Bible dengan orang yang berminat. Semua orang yang menghadiri perjumpaan dapat belajar daripada latihan ini. Tapi yang paling penting ialah perjumpaan menguatkan iman kami kepada Tuhan serta kasih kepada-Nya dan rakan seiman.
Perjumpaan hujung minggu. Perjumpaan ini mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama merupakan ceramah Bible yang disediakan khas untuk umum. Bahagian kedua merupakan sesi soal jawab yang berdasarkan rencana dalam Menara Pengawal edisi pembelajaran. a Rencana ini membincangkan dan menjelaskan topik Bible serta prinsip-prinsipnya yang dapat bantu kami dalam aktiviti penyebaran dan kehidupan seharian.
Perhimpunan dan konvensyen. Setiap tahun, tiga perhimpunan besar diadakan dan banyak sidang akan menghadiri setiap acara ini. Acara meriah ini akan berfokus kepada satu tema Bible. Terdapat juga ceramah, lakonan yang singkat, temu ramah, dan video. Seperti perjumpaan sidang kami, perhimpunan dan konvensyen juga bantu kami memperdalam pengetahuan Bible dan menjadi penginjil yang lebih baik. Selain itu, acara ini terbuka kepada umum dan tiada kutipan wang dibuat.
Sekolah Bible untuk Saksi-Saksi Yehuwa
Untuk latihan yang lebih intensif, sesetengah Saksi-Saksi Yehuwa akan dijemput untuk hadir pelbagai sekolah Bible. Apakah sekolah-sekolah ini? Apakah tujuannya dan berapa lamakah tempohnya? Siapakah yang boleh menyertainya?
Sekolah Latihan Perintis
Tujuan: Untuk latih penginjil sepenuh masa yang dipanggil perintis. b Mereka akan dilatih untuk jadi lebih efektif dalam kerja menginjil dan mengajar. Kursus ini mengandungi perbincangan, lakonan singkat, ceramah, dan sesi latihan.
Tempoh: Enam hari.
Cara menyertai: Mereka yang baru berkhidmat sebagai perintis selama setahun akan dijemput untuk menghadirinya. Perintis yang pernah menghadiri sekolah ini sekurang-kurangnya lima tahun yang lalu boleh dijemput semula.
Sekolah Latihan Penginjil
Tujuan: Untuk memberikan latihan khas kepada penginjil sepenuh masa yang berpengalaman. Sekolah ini meningkatkan lagi kemahiran menginjil dan mengajar mereka. Mereka juga akan mengkaji topik Bible dengan mendalam. Ramai lulusan akan ditugaskan di kawasan yang memerlukan lebih banyak penyiar.
Tempoh: Dua bulan.
Cara menyertai: Perintis dapat memohon untuk menghadirinya jika mereka memenuhi syarat dan mampu berkhidmat di kawasan yang mempunyai keperluan besar.
Sekolah untuk Penatua Sidang
Tujuan: Untuk membantu penatua c memikul tanggungjawab dalam sidang seperti mengajar dan menggembala sidang, serta memperdalam kasih mereka kepada Tuhan dan rakan seiman.—1 Petrus 5:2, 3.
Tempoh: Lima hari.
Cara menyertai: Penatua yang baru dilantik serta penatua berpengalaman yang pernah menghadiri sekolah ini sekurang-kurangnya lima tahun yang lalu akan dijemput.
Sekolah untuk Penyelia Litar dan Isteri Mereka
Tujuan: Untuk latih penyelia litar d yang membuat kerja lawatan. Mereka akan dilatih untuk melakukan tugas mereka dengan lebih efektif. (1 Timotius 5:17) Kursus ini juga akan bantu penyelia litar dan isteri mereka untuk mempunyai pemahaman yang mendalam terhadap Firman Tuhan.
Tempoh: Satu bulan.
Cara menyertai: Penyelia litar yang baru dilantik dan isteri mereka akan dijemput untuk hadir selepas melakukan tugasan mereka selama setahun. Selepas itu, mereka akan dijemput lagi kira-kira setiap lima tahun.
Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik
Tujuan: Untuk bantu penatua dan pembantu sidang e melaksanakan tanggungjawab dalam sidang mengikut situasi, perkembangan, dan keperluan terkini. (2 Timotius 3:1) Sekolah ini akan diadakan sekali dalam beberapa tahun.
Tempoh: Biasanya satu hari, tapi tempoh ini boleh berubah.
Cara menyertai: Penyelia litar, penatua, dan pembantu sidang akan dijemput untuk menghadirinya.
Sekolah Latihan Bethel
Tujuan: Untuk bantu ahli keluarga Bethel f menjalankan khidmat mereka dengan baik serta memperdalam kasih mereka kepada Tuhan dan satu sama lain.
Tempoh: Lima hari setengah.
Cara menyertai: Ahli keluarga Bethel yang baharu dikehendaki untuk hadir. Mereka yang sudah lama berkhidmat di Bethel yang pernah menghadiri sekolah ini sekurang-kurangnya lima tahun yang lalu boleh dijemput semula.
Sekolah Latihan Gilead
Tujuan: Untuk bantu para pelajar memperdalam penghargaan mereka terhadap Firman Tuhan dan menerapkan apa yang mereka belajar. (1 Tesalonika 2:13) Lelaki dan wanita Kristian yang matang secara rohani yang menghadiri Gilead akan menjadi lebih berguna kepada organisasi Yehuwa dan kerja pendidikan Bible sedunia. Para lulusan mungkin ditugaskan untuk berkhidmat di pejabat cawangan, atau sebagai penginjil khas sepenuh masa atau mubaligh, sama ada di negara asal atau negara lain.
Tempoh: Lima bulan.
Cara menyertai: Pejabat cawangan akan jemput sesetengah pekhidmat sepenuh masa untuk memohon. Sekolah ini diadakan di Pusat Pendidikan Watchtower di Paterson, New York, Amerika Syarikat.
Sekolah untuk Ahli Jawatankuasa Cawangan dan Isteri Mereka
Tujuan: Untuk latih ahli Jawatankuasa Cawangan g untuk menyelia kerja di pejabat cawangan dan aktiviti rohani Saksi-Saksi Yehuwa di negara asal atau di negara lain di bawah jagaan pejabat cawangan itu.
Tempoh: Dua bulan.
Cara menyertai: Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa akan menjemput sesetengah ahli Jawatankuasa Cawangan dan isteri mereka untuk menghadiri sekolah ini yang akan diadakan di Pusat Pendidikan Watchtower di Paterson, New York.
Latihan yang diberikan kepada para Saksi adalah berdasarkan apa?
Latihan yang diberikan kepada Saksi-Saksi Yehuwa sentiasa berdasarkan Bible. Kami percaya bahawa Bible diilhami Tuhan dan mengandungi bimbingan yang terbaik bagi setiap aspek kehidupan seorang Kristian.—2 Timotius 3:16, 17.
Adakah Saksi-Saksi Yehuwa perlu bayar untuk latihan yang mereka terima?
Tidak. Latihan diberikan secara percuma. Kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa disokong oleh sumbangan sukarela.—2 Korintus 9:7.
a Bible dan bahan pembelajaran Bible, termasuk video, disediakan di laman web kami, iaitu jw.org.
b Perintis ialah seorang Saksi lelaki atau perempuan yang sudah dibaptis dan merupakan teladan baik yang mengekhaskan sejumlah masa setiap bulan untuk menginjil.
c Penatua ialah lelaki Kristian yang matang secara rohani. Mereka mengajar berdasarkan Bible dan menggembala sidang dengan memberikan bantuan dan galakan. Mereka tidak dibayar gaji.
d Penyelia litar ialah seorang penginjil sepenuh masa yang akan melawat sidang yang berbeza dalam litarnya setiap minggu. Dia menggalakkan sidang melalui ceramah Bible dan menyertai mereka dalam aktiviti penyebaran.
e Pembantu sidang berkhidmat kepada saudara saudari dalam pelbagai cara supaya para penatua dapat meluangkan lebih banyak masa untuk mengajar dan menggembala.
f Nama “Bethel” merujuk kepada pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa. Pekhidmat sepenuh masa di Bethel menyokong kegiatan para Saksi di kawasan cawangan tempatan.
g Jawatankuasa Cawangan terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga orang saudara yang layak dan matang secara rohani.